Asalamualaikum wbt,
Islam itu satu agama yang mudah dan relevan sepanjang masa serta sempurna ajarannya. Setiap kesulitan pasti ada penyelesaian, setiap kejayaan pasti ada jalannya. Itulah Islam yang menyembah Allah yang satu dan mengikut sunnah rasulullah saw.
Sebelum bermulanya sebuah pembinaan masjid yang indah yakni perkahwinan, wujud prosedur atau aturcara sebelum hari akad nikah. Dalam agama mahupon adat terdapat prosedurnya yang tersendiri. Dalam adat, sebelum akad nikah, haruslah bermula dengan merisik, bertunang dan akhir sekali berkahwin. Dalam Islam, hanya terdapat pertunangan dan perkahwinan namun Islam tidak melarang umatnya mengikut adat selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri.
Berkata tentang merisik dalam adat melayu, merisik atau nama lainnya "tanda" adalah satu cara untuk mengetahui keadaan atau status seseorang wanita itu sama ada sudah berpunya mahupon tidak dan dalam keadaan yang sama mengenalkan calon lelaki kepada perempuan yang dirisik itu. Dan setelah merisik, bermulalah proses bertunang dimana rombongan lelaki membawa hantaran dulang dan cincin untuk perempuan yang ingin ditunangi.
Ingin diketengahkan disini adalah dalam proses pertunangan itu sendiri. Pada masa kini, majlis pertunangan dijalankan secara besar-besaran seperti walimatul urus. Khemah yang banyak didirikan, pelamin yang besar serta mahal disediakan, orang yang ramai datang menghadiri. Sudah pasti banyak wang ringgit sudah dihabiskan dan ini menyebabkan pembaziran dimana wang ringgit tersebut boleh digunakan untuk walimatul urus yang lebih afdal di war-warkan dan diberitahu kepada umum. Dalam Islam juga, pertunangan harus disembunyikan manakala perkahwinan harus diberitahu. Mengikut Islam, sudah wujud satu ikatan pertunangan antara lelaki dan perempuan apabila masing-masing bersetuju untuk berkahwin serta tidak memerlukan majlis pertunangan. Adat tidak salah namun cara menjalankan adat itu sedikit bertentangan dengan agama.
Dalam perkahwinan pula, wang hantaran dan mas kahwin menjadi aspek utama dimana semakin tinggi pelajaran seseorang wanita itu, lagi tinggi hantaran dan mas kahwinnya. Dalam Islam, sebaik-baik mas kahwin adalah serendah-rendah mas kahwin. Ini sudah pon melanggar ajaran Islam itu sendiri. Kita sendiri boleh lihat, majlis walimatul urus dijalankan secara besar-besaran sehingga menjemput artis yang mahal serta diadakan di hotel-hotel mewah. Tidak salah semua ini dilakukan cuma hendaklah mengikut kemampuan sehingga tidak berhutang. Dalam Islam, bersederhana sangat dituntut dan terdapat batasan dalam melaksanakan walimatul urus dimana lelaki dan wanita yang bukan muhrim tidak boleh bercampur, makanan dan minuman tidak terlalu banyak sehingga berlaku pembaziran, pakaian yang tidak membuka aurat dan banyak lagi. Namun, semua ini semakin dilupakan masyarakat kita.
Pembaziran tidak harus berlaku dalam proses pertunangan dan perkahwinan. Disebabkan ini jugalah terdapat segelintir pasangan suami isteri terpaksa berhutang untuk mengikut adat dimana perlu berbelanja banyak dalam pertunangan dan juga perkahwinan sehingga melebihi kemampuan mereka. Justeru menyebabkan mereka berhutang pada perkara yang tidak sepatutnya. Sebaliknya mereka harus berjimat kerana dalam rumah tangga lagi memerlukan perbelanjaan yang banyak. Awaslah kepada bakal suami isteri, utamakanlah agama dan tinggalkan amalan yang batil supaya masjid yang bakal dibina diberkati dan dirahmati.
Wassalamualaikum wbt.


No comments:
Post a Comment