Thursday, 23 October 2014

365 hari


Asalamualaikum,

Kelie's Castle dan juga Jalan Seni,
Bersantai tenang di Gua Kek Lok Tong,
Soalan ditanya jawapan diberi,
Wow, gua banyak untong.

*Pantun yang penuh cacat cela. Harap jangan dikutuk.

Sesudah subuh persiapan sudah dibuat. Mandi, berbaju, berwangi dan memanaskan enjin kereta. Minyak diisi penuh tanda persediaan untuk berjalan jauh. Hati gementar, fikiran kelaut, namun perjalanan harus dimulakan. Terselit juga perasaan gembira dan kerinduan namun Allah sahaja yang tahu.

Jam 7.10 pagi, kereta mula bergerak dengan perlahan bagi menepati janji pada pukul 8.30pagi. Setiap perhentian disinggahi kerana suasana sejuk pada pagi hari melemahkan pundi kencing dan memaksa diri untuk ke tandas. Tepat 8.40pagi, tiba dihadapan rumahnya untuk dijadikan penumpang VIP pada hari itu.

Permulaan hari dimulakan dengan sarapan di kedai mamak, ataupon kedai india, diri ini pon tak tahu maka berlaku sedikit kekeliruan disitu. Air teh'o suam dan kopi panas membasahi tekak dan 3 roti canai menjadi isian perut yang rancak kelaparan. Tiada keenakan namun rezeki harus dihabiskan. Melihat wajahnya tanpa bedak yang tebal sangat menyejukkan hati dan mengubati kerinduan. Ingin diluahkan hasrat yang terpendam namun disimpan selagi mampu.

Perjalanan menuju ke lorong-lorong seni di Ipoh dimulakan. Pelbagai perkara diborakkan sehingga tidak merasai masa perjalanan. Kesenian di Ipoh dinikmati, lukisan-lukisan didinding berwarna warni dan penuh kreativiti di simpan didalam memori kad telepon untuk dijadikan kenangan abadi. Dirimu menemani diri ini dengan penuh kesabaran walaupon matahari sudah mula memanaskan bumi. Gambarmu diambil tanpa dirimu sedari bahawa setiap gambarmu begitu berharga bagi diriku sambil terbayang difikiran "adakah dia mempunyai perasaan yang sama seperti diriku?". Namun, sikapnya yang suka bergambar dan mengambil gambar memaksa diriku menjadi model yang kacak lagi bergaya pada pagi itu. Ingin ku panjangkan waktu namun tiada lagi lukisan seni harus dilihat maka bermulanya perjalanan ke Kellie's Castle sambil peluh membasahi muka dan ketiak ini.

Pengalaman dijalan raya tidak dapat menandingi GPS dalam penguasaan jalan dan kawasan. Kira-kira 30minit masa perjalanan dari Ipoh ke Batu Gajah (Elephant Stone). RM2 dikutip sebagai balasan meletakkan kereta, RM20 sebagai kunci ke istana. Kaki mula melangkah dan begitu jugalah peluh mula membasahi setiap permukaan kulit. Cuaca panas tidak melemahkan semangat. Almaklomlah, dirinya begitu memberi tenaga pada diri ini. Gambar sekali lagi menemani kami, bukan 10 tapi lebih 15 gambar diambil. Kami berdua nampak cantik dan kacak pada hari itu namun diri ini mengakui bahawa dirinya sangat cantik sambil memakai jaket ala-ala jeans dan berkasut merah. Melting, kecairan, gegaran iman menguasai diri ini namun titisan peluh dapat menandingi semuanya. Jalan berdua umpama isi dan kuku, umpama suami dan isteri namun masih terbayang difikiran "adakah kekecewaan akan menjemputku?". Setiap tanah dan ruang telah dilalui maka tamatlah sudah sesi pengembaraan di istana bersejarah itu.

Baju merah ditambah lagi dengan kebasahan peluh. Perjalanan ke AEON 18 Ipoh diselitkan dengan roadblock namun kami lepas dengan jayanya. Namun, soalan yang membunuh diri ini sudah keluar dari mulutnya. "siapakah emma kembong", sambil dirinya tersengih seperti mahu meminta penampar sulung dariku. Lidah terkelu dan senyuman manis dariku sebagai balasan kepadanya lalu menghampakan dirinya. Maaf dari hati kerana belum masanya lagi. Alasan diberi bagi mengisi kekuatan untuk meluahkan rasa cinta dan sayang ini padanya. Perjalanan terasa jauh kerana debaran mula terasa. Debaran seperti meletakkan muka pada badan bas yang sedang bergerak. Gegar dan memeningkan.

Janji ditebar mengatakan makan tengahari sebagai waktu yang paling sesuai untuk berkongsi rahsia. Namun, kedai dan cafe yang sesuai masih belum ditemui. Dunia begitu kecil sehingga terjumpa rakan sepejabatnya di sebuah cafe yang bertuah dipilih kami untuk menikmati makanan namun kehadiran rakannya itu membantutkan kami lalu beredar dari situ. Hal tersebut akan memberi masalah padanya kerana akan timbul gosip yang meliar dipejabatnya namun diri ini lagi suka jika begitu. Biar mereka tahu yang dirinya milikku. Eceh, sudah perasan seperti sudah berakad nikah. 10minit masa menunggu makanan, air milo ais dan sjora mangga menjadi pilihan diriku, nasi goreng kerabu dan nasi goreng ayam blackpaper menjadi perhiasan meja. Doa dibaca dan sudu garfu bergeser tanda bermula sesi makan. Sifat kebulurku menyebabkan pinggan dan cawan kekosongan namun dirinya tidak begitu, mungkin mahu menurunkan berat badan yang sememangnya ideal bagi ku namun tidak baginya.

"Bila nak cerita pasal emma kembong?". Seperti pisau terhiris hidungku yang mancung ini apabila ditanya soalan begitu. Kedua-dua tangan menggosok muka kerana beranggapan dapat memberi seribu satu keyakinan dan kekuatan untuk meluahkan sesuatu yang sangat bermakna dan penuh kerahsiaan. Lidah terkelu, fikiran seperti mahu memberi alasan namun hati mengatakan "bila lagi kau nak bagitau. bagi puaskan hati kau. kecewa ke, gembira ke, tu lain cerita. kau kena terima." Kemain banyak lagi hati ini memberi soalan. Mulut mula menunjukkan simptom-simptom yang berbaur ketakutan, kegigilan dan kedebaran. Berikut merupakan soalan dariku. Sedikit poyo namun itulah hakikatnya.

"kau rasa aku dah jumpa emma kembong", dan jawabnya "entah".
"aku tengah jumpa dia la ni", dan jawabnya "kau jangan main-main"

Hati terasa kencang seperti hurikan dan mulut menggigil seperti enjin yang kepanasan. Begitu sukar meluahkan rasa cinta pada seseorang. Namun, gelak ketawa masih sempat bermain di antara kami. Benda yang serius namun gelak, diri ini tidak peduli. Begitulah keadaannya apabila malu teramat menimpa diri.

"sebenarnya emma kembong tu kau la", dan jawabnya "kau jangan main-main"

Begitu banyak perbualan namun sudah terlupa, maaf beribu kemaafan. Melihat wajahnya yang tersengih namun serius itu menakutkan diri ini. Takutnya tidak seperti ditahan polis namun lagi hebat dari itu. Perbualan demi perbualan berlangsung. Dirinya seperti tidak percaya pada diriku. Adakah mukaku seperti pembongak?atau penyangak sehingga tidak boleh dipercayai? Masa makan menjadi panjang gara-gara benda serius ini. Namun perkara yang membuatkan diri ini lagi malu apabila dirinya sudah pon menghidu perasaanku padanya namun didiamkan kerana ingin mendengar dari mulutku sendiri. Terasa seperti mahu membengkoknya sudu dan garfu tetapi ianya milik restoran maka terbatal niat untuk membengkokkannya. Blog dan layananku yang berlainan padanya menyebabkan rahsia sudah terbongkar lebih awal. Sudah ku agak namun kali ini lebih benar dan tepat.

Beralih pula sesi mencuba pakaian dan seperti biasa, sifat shopaholicku memaksa diriku untuk membeli seluar namun pengalaman bersama dirinya dalam sesi tersebut menguatkan lagi hasrat untuk membeli. Seluar slack bewarna kelabu akan menjadi kenangan bagiku. Kedai POPULAR juga turut disinggah dan sikapnya yang gemarkan komik lawak kampus mencuit hati ini. Fikiran ku berbunyi "badan je besar tapi hati masih kecil seperti kanak-kanak,". Begitulah hobinya yang comel itu. Kali ini, senyap lebih menguasai kami.

Shoping mall ditinggalkan, awan gelap dilangit dan akhirnya menurunkan rezeki yang menyejukkan suasana Ipoh. Kami menaiki kereta dan soalan-soalan serius mula memenuhi ruang kereta. Katanya "kenapa aku?", dia seperti tidak percaya denganku. "aku suka kau,sayang kau, cinta kau". Tiga ayat dilemparkan bagi memenuhi kepercayaannya. Dan satu lagi soalan bermain di fikiran namun disimpan sehingga sampai di Gua Kek Lok Tong.

Gua Kek Lok Tong di Ipoh, tempat ibadah bagi beragama budha. Kawasannya yang cantik dan menenangkan hati sekali lagi menyebabkan kami tidak henti-henti menangkap gambar. Berbual dan terus berbual namun sikapnya seakan akan orang bandar yang takut pada angsa mencuit hati yang kental ini. Soalan mula ditanya pada dirinya "apa perasaan kau kat aku? aku tak kisah apa jawapannya. jangan fikir perasaan aku, jangan pedulikan aku. jawablah dari hati." Dirinya terdiam seribu bahasa, berjalan menundukkan diri. Bagiku, sudah terjawab jawapannya. Tersenyum, enjoy namun dalam hati seperti gugurnya hati dari jantung. Peredaran masa menyebabkan kami terpaksa beredar dari situ dan mencari gerai untuk santapan petang.

Sekali lagi, dirinya memilih dalam kereta untuk menyatakan hasrat hatinya. "aku suka kau, cuma sayang dan cinta tu tak tahu sehingga ada orang ikat aku. Kau hensem, matang dan gentle." Banyak lagi kata-katanya namun ini sahaja yang masih diingati. Sahabat baiknya turut memuji kegentle-lan diri ini serta menasihatinya untuk menerima lelaki lain. Hal ini lagi melunturkan semangat ku, kata-katanya yang tergantung sekali lagi mengujiku. Namun, ada satu adegan yang mencuit hati dimana kami saling lihat antara satu sama lain dan tersengih sendiri. Seperti orang gila yang tiada arah tuju.

Gerai mamak ABC menjadi pilihan. ABC, milo ais, dan mee goreng menjadi santapan dan seperti biasa, kurang keenakan namun terpaksa dihabiskan. Sekali lagi dirinya bercerita mengenai dirinya dan cinta. Namun kata-katanya kali ini menyebabkan diriku berasa luluh kerana beranggapan dirinya masih belum sedia. Mulut menjadi senyap, perut yang lapar tiba-tiba menjadi kenyang, selera menjadi hilang dan senyuman semakin sukar diukir serta termenung menjadi sahabat baik. "life must go on", itulah yang bermain di fikiran namun sukar untuk merealisasikan.

Masa semakin menghampiri maghrib, dirinya pulang ke rumah dan masjid menjadi destinasiku. Perjumpaan kami masih belum tamat. Perjalanan pada saat itu senyap. Reaksi mukaku dan kesenyapanku menzahirkan apa yang terpendam sehinggakan sukar untuk dibendung. Dirinya perasan lalu terus bertanya dan terus bertanya kepadaku. Maaf, bukan mudah nak merawat kekecewaan, tiada jawapan yang terbaik boleh diberi dan diriku berharap rumah Allah dapat mengubati. Sebelum dirinya meninggalkan kereta, diriku sempat meluahkan kekecewaan kepadanya dan ternyata ianya sekadar perselisihan faham. Maaf, inilah jadinya apabila terlalu mencintai seseorang yang belum pasti milik kita. Fikiran bercelaru, perasaan meruncing, dan rumah Allah menjadi tumpuan untuk menunaikan kewajipan.

Selesai solat, ketenangan mengusai diri, keputusan yang ingin dibuat telah pon berada difikiran. Wassep berbunyi, maka tibalah masaku menjemputnya kembali. Tidak kusangka dirinya tidak mandi lagi dan menimbulkan keterharuan di hati kerana begitu mengejar masa bagi menyelesaikan masalah kami. "tup" pintu kereta ditutup. Mukanya kelihatan lain dan senyap tanpa suara dan merisaukan diri ini. Ingin ku tunjukkan kerisauan namun kejantanan harus diutamakan. "ini salah aku", ayat ini lah berkumandang difikiran ku. Air mata ingin menitis apabila melihatnya begitu. Tidakku pernah melihatnya begitu namun inilah yang harus diperbetulkan. Aku mula berkata :

"biar aku bagi idea. macam ni lah, kita jadi kawan biasa jela .... " perbualan sudah terlupa. Maaf.
"masing-masing tahu perasaan masing-masing. aku sayang kat kau dan kau suka kat aku. dah cukup buat aku puas hati".

Namun, dirinya masih menyepi. Ini hanyalah idea, jika setuju jawabnya setuju, jika tidak bahaskanlah namun dia masih mendiamkan. Risau semakin memuncak mengalahkan gunung everest. Adakah keputusan atau percakapanku salah? Tiada jawapan diberi dan hanya perbualan kosong diperdebatkan. Mukaku tersenyum, suaraku rancak, perbuatanku seperti tiada apa-apapon berlaku namun Allah sahaja yang tahu bahawa semua itu hanyalah plaster untuk menutup luka.

Kedai burger banjir, itulah destinasi terakhir kami. Air bitter sweet, chicken chop dan burger banjir menjadi santapan kami. "aku masih menanti jawapan", itulah yang keluar dari mulutku yang comel ini. Dan akhirnya dia bersuara dan kelihatan seperti sudah okay. Dirinya takut akan phobia couple dimana manis pada permulaan dan pahit pada pengakhiran. Namun diriku dapat melihat dirinya tidak mahu melepaskanku. Rasa gembira menguasai diri. Akhir kata darinya "T.T.M iaitu teman tapi mesra". Jawapannya itu menggembirakanku kerana istilah couple juga tidak manis bagiku. Inginku bawanya jumpa ibuku namun masih terlalu awal, inginku jumpa ibu bapanya namun harus ditunggu sehingga dirinya tamat diploma. 365 hari harus ditunggu, insyaAllah sekumpulan wakil dari keluargaku akan membawa sebentuk cincin dan bakul-bakul hantaran untukmu bila tiba saat itu. Kali ini, pinggan dan cawan licin selicinnya seperti 100tahun tidak makan.

Masa sangat mencemburui kami dan keputusan sudah dibuat maka ketenangan dan senyuman mengusai suasana. Dan dirinya sangat memahami diriku, susahku susah nya juga. Saling berbelanja, tidak mahu menyusahkan satu sama lain. Indah rasanya. Tapi bagiku, biarlah wang ringgit habis, jangan habis cintaku padamu. Poyo setinggi langit ayat ini namun itulah hakikatnya. Berat hati ingin berpisah namun itulah hakikat yang terpaksa ditempuhi. Diriku sangat mengharap dirimu namun jika dirimu bukan jodohku, insyaAllah diriku boleh menerima walaupon air mata menemani diri. Terima kasih atas segalanya wahai mrs 60. I LOVE YOU.

Wassalamualaikum.


Wednesday, 22 October 2014

Keputusan...


Asalamualaikum,

Orang kata, idea sesebuah karya dan penulisan datang apabila hati dalam keadaan tenang, hati dalam keadaan gembira, suasana yang sepi dan tenteram. Tapi kali ini, idea datang apabila berada dalam keadaan takut, tidak tenang dan sebagainya.

22 Oktober 2014, itulah hari yang secara tidak sengaja dimana saya sendiri telah berjanji secara tidak sengaja untuk memberitahu perkara yang terpendam didalam hati ini pada si dia. Mujurlah, apa yang ditulis didalam post sebelum ini tidak dapat dihidu oleh si dia. Gelabah saya apabila mendapat tahu bahawa dia sudah pon membaca post saya sebelum ini. Tapi dia tak sedar bahawa post itu adalah untuknya. Alhamdulillah, rahsia masih dalam genggaman.

22 Oktober 2014 iaitu hari rabu, destinasinya ialah Ipoh. Mungkin ini adalah titik permulaan atau pengakhiran bagi saya sendiri. Tidak mampu berbuat apa-apa dan sekadar mengharap semuanya berjalan dengan lancar. Mencari seorang calon isteri bukan mudah dan ianya merupakan perkara yang sangat serius. Biarlah segala yang difikirkan dan terpendam diluahkan secara serius, jujur dan tidak hipokrit.

Emma maembong??bukan tapi emma kembong. Kau sudah pon memberi panggilan pada diri kau sendiri, tanpa kau sedari. Hanya mampu tersenyum apabila mengingati perkara ini.

Isnin (20 Oktober 2014), hari aku menulis post ini. Mungkin post ini akan jadi sejarah manis??ataupon sejarah pahit??wallahualam. Post ini dipublish selepas hari rabu atas sebab kerahsian. hehe. Terima kasih kerana sudi membaca.

Wassalamualaikum.

Monday, 20 October 2014

I LUV ISLAM : Benar Kata Orang

alt

Benar kata orang. Apabila cinta terhadap manusia sudah menguasai hati, kita mudah diperangkap oleh tipu daya dan muslihat syaitan untuk menyesatkan manusia. Hati yang dahulunya mengatakan “cinta kerana Allah SWT” perlahan-lahan diulit tipu daya dan muslihat syaitan.

Cinta sebelum kahwin sememangnya mampu mengundang kepada lembah penzinaan. Hati mula lalai terhadap suruhan dan perintah Allah. Perlahan-lahan hati ini ditipu oleh syaitan. Niat pada awalnya ingin membimbing seorang wanita perlahan-lahan hanyut ke lembah penzinaan.

Puas ibu menasihati agar menjaga tingkah laku dan perbuatan apabila keluar bersama teman wanita yang aku merasakan kononnya bakal menjadi menantu kepada ibu. Solat yang pada dahulunya dilakukan pada awal waktu mula berubah kepada penghujung waktu kerana leka dengan berbalas pesanan mesej ringkas. Majlis-majlis agama yang dahulunya dihadiri mula ditinggalkan kerana ingin ber-chatting dengan teman wanita di laman sosial.

Tiada lain yang difikirkan melainkan hanya teman wanita sehinggalah pada suatu tahap hati ini mula sesak dengan desakan nafsu dan dosa. Percintaan yang pada dahulunya indah mula berubah menjadi hambar. Pergaduhan kerap berlaku yang akhirnya membawa kepada perasaan cemburu yang meluap-luap.

Syaitan benar-benar telah berjaya mengambil alih hati ini untuk dikuasai. Tiada lagi ayat-ayat Al-Quran yang dahulu kerap diamalkan. Hidup menjadi tidak tenang. Terasa seperti ada dua aliran di dalam hati. Hati ini semakin sesak dan lemas dengan dosa-dosa yang dilakukan.

Aku tekad untuk memutuskan hunungan yang sudah terjalin selama dua tahun ini kerana Allah Taala. Aku tidak mampu lagi hidup dengan penuh dosa dan noda. Jauh di sudut hati, ini bukanlah cinta yang diredhai Allah. Jauh sudah aku tinggalkan seorang wanita yang pernah hadir dalam diri aku. Aku membawa diri jauh daripada “lembah kemasyhuran” yang pernah aku tempuhi suatu masa dahulu.

Biarlah aku bersendiri daripada hidup penuh dengan noda dan dosa. Tidak susah bagi aku untuk kembali kepada yang Maha Esa. Kini aku melihat kawan-kawan lain “berbahagia” bersama pasangan luar nikah masing-masing tetapi aku merasakan lebih bahagia bersama-sama dengan Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Benar kata orang. Allah knows what’s best for us! Ada sebab mengapa Allah menyuruh kita menjauhi zina. Allah SWT berfirman:


“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Surah al-Israa’, ayat 32)


Wallahu’alam.

Kejayaan Yang Sebenar


Asalamualaikum. Kejayaan??Boleh dirungkai dalam banyak aspek namun maksud kejayaan kali ini adalah kejayaan dalam menyempurnakan hidup seharian.

Memegang segulung ijazah ataupon memegang sebuah piala juga merupakan sebuah kejayaan namun sesuatu kejayaan itu takkan berguna jika sekadar berjaya didunia tapi gagal diakhirat. Kejayaan didunia dan akhirat harus seiring justeru melahirkan generasi Islam yang berdaya maju dan setanding dengan yang lain.

Bagi saya sendiri, tidak berjayalah seorang manusia itu jika gagal menyempurnakan solat lima waktu sehari semalam kerana solat itu merupakan tiang agama dan wajib ditunaikan oleh setiap manusia yang beragama Islam. Tanpa solat yang sempurna, maka gagallah kehidupan didunia dan akhirat. Kekadang, kita lihat orang yang tidak solat masih boleh berjaya didunia tetapi sebenar-benar kejayaan adalah berjaya didunia dan akhirat.

Kenapa orang tidak solat masih boleh berjaya?? Ini berlaku kerana Allah ingin menguji seseorang hamba itu kerana manusia mudah tewas dengan wang ringgit ataupon kejayaan masing-masing. Mereka leka bahawa sebaik-baik kejayaan adalah dengan mengikut agama Islam itu sendiri.

Berbalik pada pendapat saya, solat lima waktu sahaja tidak mencukupi jika tidak berjemaah di masjid/surau atau tidak pada awal waktunya. Sunnah rasulullah yang tidak harus dipinggirkan adalah solat fardhu berjemaah di tempat azan dilaungkan pada awal waktunya. Jika masjid/surau kosong ketika solat fardhu, maka berdosalah seluruh penduduk disekitar. Oleh itu, kita tidak boleh memandang remeh pada solat jemaah.

Dengan solat berjemaah juga dapat melahirkan ukhwah sesama jemaah itu sendiri walaupon tidak saling mengenali. Sifat kasih sayang dan persaudaraan boleh terhasil daripada sunnah rasulullah ini. Oleh sebab itulah, orang yahudi hanya akan takut pada orang Islam apabila solat subuh penuh seperti solat jumaat kerana persaudaraan yang terhasil dikalangan orang Islam apabila solat jemaah dapat membanteras segala yang memudaratkan Islam itu sendiri.

Berpeganglah pada satu ayat ini "bagaimana rasulullah SAW akan mengenali kita jika kita tidak mengamalkan sunnah nya", wallahualam. Solat berjemaah la selagi hayat dikandung badan dan sebelum penyesalan menghantui diri. Wassalamualaikum.

Sunday, 12 October 2014

Dia dan Aku


Asalamualaikum. Bila disebut pasal perkara silam, masing-masing ada kenangan tersendiri baik manis ataupon pahit. Perkara silam selalu dikaitkan dengan perkara buruk seseorang namun setiap ciptaan bernama manusia boleh berubah kepada yang baik atau disebaliknya. Oleh itu, usah memandang rendah pada mereka yang pernah berbuat jahat kerana mungkin mereka akan menabur lebih banyak bakti dan kebaikan kepada manusia lain pada masa akan datang.

Bagi seorang remaja seperti saya sendiri walaupon sudah mencecah 21 tahun pada 2014 ini, saya sendiri mempunyai pelbagai pengalaman baik dan buruk tidak kira ketika alam persekolahan, keluarga, rakan-rakan dan lebih menarik lagi dalam percintaan. Apa yang hendak saya ketengahkan sekarang adalah mengenai alam percintaan.

Cinta itu lumrah kehidupan. Allah ciptakan manusia dengan fitrahnya dan salah satu fitrah tersebut adalah cinta. Cinta itu terlalu universal maksudnya. Cinta terhadap pencipta, cinta terhadap keluarga, cinta terhadap kawan dan cinta terhadap pasangan. Cinta itu suci namun manusia selalu mencemarinya dengan unsur-unsur negatif seperti cinta pada maksiat, cinta berdasarkan nafsu dan sebagainya.

Remaja dan cinta tidak dapat dipisahkan. Saya sendiri tidak dapat lari dari cinta ini. Rasanya sangat hebat sehinggakan sebelum tidur, sebelum makan, selepas makan, semasa riadah, semasa bersosial, kita boleh merasakan cinta itu tambah-tambah lagi pada insan yang berlainan jantina. Sukar untuk memendam perasaan cinta itu apabila berjumpa dengan orang yang dicintai. Tekanan yang dirasai sangat hebat dan agresif. Namun itulah keindahan menyimpan rasa cinta pada seseorang. Jika keadaan sangat mendesak, tidak perlulah dirahsiakan lagi namun luahkan dengan serius, terbuka dan secara berhadapan.

Luahan?boleh diucapkan dengan pelbagai cara namun jadilah diri anda sendiri. Sikap hipokrit harus dijauhkan. Orang kata, insan yang selalu kita ingat setiap masa, itulah cinta walaupon tidak berjumpa. Tidak perlu meminta apa-apa, cukuplah luahan kepada si dia. Maka hilanglah segala kesulitan dan keseksaan sepanjang masa memendam perasaan cinta itu.

Ingin saya cerita sendiri kisah cinta saya dimana dalam keadaan tidak sedar, saya sudah terbabit dalam percintaan. Saya yang dulu tidak setia pada seorang, suka bertukar-tukar pasangan namun itu saya yang dulu. Apabila saya mula serius, balasan buruk saya dapat. Mungkinkah ini balasan? 

Walaupon setelah ditinggalkan pasangan, namun hadir seorang insan yang dapat mengukir senyuman saya semula, yang membuatkan saya tidur tak lena, selalu ingatkan dia. Dan semestinya dia seorang wanita yang sangat cantik dan comel bagi saya. Namun, saya pilih untuk memendam perasaan ini. Dalam keadaan tidak sedar, perasaan itu dizahirkan dalam perbualan, perbuatan dan mesej-mesej. Itu tidak saya khuatir namun apa yang ditakutkan oleh saya sehingga berbuat keputusan untuk memendam perasaan adalah cinta bertepuk sebelah tangan ataupon dipermainkan dimana saya hanya tempat melepaskan kesunyian. Wallahualam. Saya masih ingat berapa pertemuan saya dengan si dia sehingga 13 oktober 2014 ini iaitu 5 pertemuan dan satu pertemuan itu adalah secara berdua kalau tak silap saya. Indah rasanya. Biarlah penat lelah dan wang ringgit habis kerana itulah dinamakan cinta itu membutakan.


Memori bersama saya simpan seelok-eloknya. Gambar dikumpul dan barang-barang yang mengingatkan saya pada dia akan saya sayang seperti saya sayangkan dia. Saya cintakan awak. Itulah luahan yang ingin diluahkan namun ingin saya simpan selagi mampu. Reaksinya terhadap saya seperti positif dan ada kala nya negatif namun saya berharap dia juga mempunyai perasaan yang sama. Ada dua barang yang mengingatkan saya pada dia iaitu ….u dan …..t semestinya rahsia. Ingin diceritakan lebih panjang namun cukuplah sampai disini kerana takut sudah membuka rahsia sendiri. Adakah dia juga cintakan saya seperti saya cintakan dia? Adakah dia jodoh saya? Jika benar, alhamdulillah. Wallahualam. Semoga Allah memberi petunjuk pada saya dan dia. InsyaAllah. Wassalamualaikum.

Copyright© All Rights Reserved madulebah93.blogspot.com