Monday, 19 December 2011

SloT TersengiH : Lawak Pengajaran

"Budak kecil bertanya: "Kenapa kakak pakai topi keledar tu?"

Jawab kakak tersebut: "Undang-undang suruh pakai Dik, kalau tak pakai nanti, takut kena saman. Lagipun untuk keselamatan dik. Kalau berlaku kemalangan kepala kita akan selamat!" Kakak itu memberitahu lagi penuh keyakinan.

Adik itu bertanya lagi: "Kak, kenapa tak takut pun bila tak pakai tudung kepala? Kan undang-undang Allah suruh perempuan pakai tudung dan tutup aurat. Lagipun kakak tak takut ke keselamatan kepala kakak nanti di Akhirat, kena bakar kalau tak pakai tudung!"

Kakak itu tersenyum dan terpinga-pinga sambil memikirkan kata-kata budak kecil itu...", (^_^)

-I LUV ISLAM : Nikah Gantung (Khitbah) Satu Alternatif-

Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas (zina) serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini, saya menyarankan satu program atau projek besar iaitu "Taysir az Ziwaj" dilaksanakan, khasnya oleh pihak berwajib.
Taysir Az Ziwaj ialah "Permudahkan Proses Perkahwinan" terutama kepada anak-anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan.
Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan (nafsu) syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul, benar dan baik.
Gejala seks bebas (zina) dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul, tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain. Sedang Islam menggalakkan perkahwinan (aqad nikah) agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal. Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia.
Firman Allah swt yang bermaksud :
"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui." (Surah An-Nuur : Ayat 32)
Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas (zina). Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib (kerajaan) seperti (sekadar menyebut beberapa contoh) :
  • Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
  • Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
  • Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
  • Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
  • Menganjurkan perkahwinan beramai-ramai yang menjimatkan
  • Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
  • Merendahkan hantaran perkahwinan
Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung. Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :
  • Suami
  • Isteri
  • Wali
  • Saksi
  • Aqad (Ijab Qabul)
Cuma bezanya ialah pasangan pengantin (suami isteri) tidak tinggal serumah dalam tempoh-tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti (sekadar menyebut beberapa contoh) :
  • Masih menuntut di kolej atau universiti
  • Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
  • Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga
Justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan (atas persetujuan bersama kedua-dua pihak) dan barangkali tinggal bersama keluarga masing-masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan di atas telah selesai dan mereka benar-benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.
Kelebihan Nikah Gantung
Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang-undang negara. Andai dalam tempoh itu mereka bertemu, keluar makan, dating, study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks, maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram.
Andai berlaku kehamilan, maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab (keturunan). Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah.
 Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata-ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang. Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama. Akhirnya, jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara.
Penerimaan Masyarakat
Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab. Menurut amalan tersebut, sewaktu majlis pertunangan, ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah (halflun nikah) tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali (serumah) sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan (haflul Qiran). Terkadang tempoh itu (antara pertunangan dan perkahwinan) menjangkau tahun lamanya.
Dalam masyarakat Melayu, amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan namaNikah Gantung. Ia pernah dikaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz, Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara.
Malah menurut Abdul Jalil Borhan, perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 (dalam bahagian 5) enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.
Perbahasan Hukum
Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun. Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah, maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.
Apabila pasangan pengantin (nikah gantung) bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi, maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin (jima'/bersetubuh). Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir (material) . Berkait perkara ini, kita mempunyai beberapa pandangan :
a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini (nafkah zahir) wajib dengan berlakunya aqad, maka selepas sahaja aqad nikah, suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya.
b] Pandangan jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat-syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami (berpindah ke tempat suami), boleh melakukan istimta' (mengambil keseronokan) , jima'/bersetubuh , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya.
Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa ; bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku. Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama, maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri, buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .
Tegasnya saya sebutkan disini, terutama kepada pihak berkuasa agama, ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak-anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam. Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak, tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak-anak gadis dan teruna kita berpeleseran, bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan. Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar, murka Allah swt itulah yang paling ditakuti.

-I LUV ISLAM : Haramkah Menonton Wayang-


Ada rakan saya berkata kepada saya bahawa hukum menonton wayang di pawagam adalah haram kerana banyak kemungkaran di dalamnya. Adakah ini benar? Selain itu , adakah berkaraoke di tempat karaoke juga haram? Harap ustaz dapat membantu dalam hal ini.
Nafiz
Assalamualaikum Warahmatullah.
Adapun hukum menonton wayang atau menonton televisyen itu pada asalnya adalah harus/dibolehkan. Namun padanya kemungkinan di sana terdapat perkara-perkara yang menyalahi syariat (seperti pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan, filem yang ditayangkan terdapat unsur-unsur seks dan seumpamanya) menyebabkan ia boleh terjatuh pada bahagian haram (li qoiri) kerana ada unsur-unsur lain padanya.
Oleh itu, jikalau menonton wayang tanpa ada perkara-perkara yang menyalahi syariat Islam maka ia adalah diharuskan. Tetapi jika terdapat perkara-perkara yang menyalahi syariat maka ia tidak dibolehkan.
Begitu jugalah dengan karaoke. Adakah lagu yang didendangkan itu menyalahi syarak? Adakah berlaku pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan. Adakah dengan karaoke itu akan menyebabkan seseorang itu meninggalkan solat?  Jika jawapan kepada persoalan-persoalan ini semuanya tidak menyalahi syarak, maka tiada masalah untuk berkaraoke.
Walaubagaimanapun, pilihan paling bijak ialah dengan meninggalkan segala perbuatan yang sia-sia atau tidak mendatangkan manfaat. Banyak lagi perkara yang boleh dilakukan dan dapat pula memdatangkan manfaat kepada diri dan orang lain.
Wallahualam.
Ustaz Muhammad Rashidi Bin Haji Wahab

-I LUV ISLAM : Hukum Onani-

Salam Ustaz,

Saya ingin bertanya, apa hukum melakukan masturbasi (onani/melancap)? Saya ketagihan masturbasi. Saya melakukan hampir 3-4 kali seminggu. Bagaimana saya berhenti dari melakukan perkara tidak sihat ini? Dan apakah kesan terhadap diri saya apabila telah memasuki alam perkahwinan nanti?

- Nurul

Assalamualaikum Warahmatullah.

Sebenarnya permasalahan mengenai onani ini telah begitu kerap dikemukakan kepada saya terutama sekali melalui email dan personal massage. Oleh itu, saya kemukakan semula jawapan yang pernah saya berikan bagi menjawab persoalan berkaitan dengan onani ini seperti mana berikut:

PENGENALAN

Memikirkan sejenak masalah sosial yang menimpa remaja masa kini, saya termenung berpanjangan. Saya juga turut tergolong di dalam golongan remaja. Inilah realiti dunia kita. Antara permasalah yang seringkali ditimbulkan oleh pelbagai pihak samada dari golongan muda remaja hinggalah dewasa berkeluarga adalah berkenaan masalah onani. Saya juga tidak terlepas dari pertanyaan ini terutamanya melalui perantaraan maya yahoo massenger, email dan facebook. Permasalahan ini amatlah membimbangkan. Ia bagaikan satu kebiasaan dan lumrah umat pada masa kini terutamanya bagi golongan remaja.

Ada di antara mereka ketagih dengan onani ini dengan sebab mulanya hanyalah perasaan ingin mencuba untuk mencari sesuatu yang baru. Ada pula yang ketagih kerana telah diajar oleh pasangan kekasih mereka ketika hangat bercinta dahulu. Ada juga yang lebih teruk lagi dari itu ketagih setelah agak biasa melakukan persetubuhan haram berulang-ulang kali dengan kekasih hati. Jadi mereka semua ini secara umunya tidak dapat meninggalkan perbuatan onani dan seringkali melakukannya apabila ada masa terluang.

Di sini saya cuba membincangkan beberapa perkara yang berkaitan dengan onani ini. Tujuan penulisan ini bukanlah untuk menjatuhkan maruah sesiappun akan tetapi perbincangan ini adalah sebagai satu usaha dakwah saya untuk memberi faham kepada masyarakat mengenai permasalahan onani ini. Semoga perbincangan ringkas ini akan memberikan hasil yang lumayan kepada kita semua. InsyaAllah.

PENGERTIAN ONANI

Onani (melancap) dalam Bahasa Arab disebut Istimna. Dalam ertikata mudanya bermaksud mengeluarkan sperma atau mani secara sendirian bukan dengan jalan yang dibenarkan oleh syarak. Ia merupakan satu istilah untuk menyatakan kegiatan yang dilakukan oleh seseorang itu dalam memenuhi syahwatnya dengan menggunakan tangan sendiri ataupun dengan bantuan alat-alat tertentu sehingga mengeluarkan mani.

HUKUM ONANI

Pandangan dari Mazhab Maliki dan Mazhab Shafie:

Mengatakan haram onani secara mutlak.

Dalilnya sepertimana firman Allah Taala bermaksud: Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki (hamba) maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barangsiapa mencari yang di bilik itu (berzina) maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. (Surah al-Mukminun: ayat 5 hingga 7).

Pandangan dari Mazhab Hanafi:

Mengatakan haram pada sesetengah keadaan dan wajib pada sesetengah keadaan.

Mereka berkata: Wajib onani jika takut terjatuh dalam zina. Menggunakan kaedah qawaid fiqhiyah: Yang terlebih ringan daripada dua mudharat.

Mereka berkata lagi: Tidak mengapa onani apabila bergelora syahwat dan tiada di sisinya isteri atau hamba.

Pandangan dari Mazhab Hanbali:

Mengatakan haram onani. Melainkan boleh beronani jika takut diri berzina atau memudharatkan kesihatan ketika isteri atau hamba tiada di sisi dan tidak mampu untuk berkahwin.

Mereka berkata: Mani adalah benda lebih dari tubuh manusia. Maka boleh dibuangkannya dengan beberapa syarat-syarat tertentu.

Kesimpulan:

Dari perbincangan dan perbahasan ulama-ulama mazhab di atas maka saya lebih cenderung untuk memilih pendapat yang mengatakan haram beronani (pendapat dari Mazhab Maliki dan Shafie) samaada kepada lelaki ataupun perempuan. Ini disabitkan dengan dalil seperti yang telah dinyatakan di atas. Pendapat saya ini juga disokong oleh pensyarah hadis kami iaitu Prof. Dr. Mahir Mansor Abdul Razak seperti yang terkandung di dalam kitabnya bertajuk al-Syaz al-Fayah Min Ahadis al-Nikah.

SEKADAR PERINGATAN

Di sini saya bawakan juga beberapa hadis untuk peringatan dan renungan kita bersama dalam menghadapi persoalan onani ini.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

Wahai sekalian pemuda yang mampu untuk mengeluarkan mahar maka kahwinlah. Maka sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan pandangan dan menjaga kemaluan. Dan sesiapa yang tidak mampu (untuk berkahwin) maka berpuasalah. Maka sesungguhnya (puasa) adalah perisai.

(Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi, al-Nasaie, Ibnu Majah, al-Darimi, Ahmad)

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

Apabila seorang hamba Allah beristeri maka dia telah melengkapi sebahagian daripada agamanya. Oleh itu, dia hendaklah bertakwa kepada Allah untuk menyempurnakan sebahagian lagi. (Riwayat al-Baihaqi).

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

Ada tujuh golongan manusia yang Allah tidak akan melihat mereka pada hari kiamat dan tidak membersihkan mereka dari dosa bahkan Allah berfirman kepada mereka: Masuklah kamu ke dalam neraka bersama orang-orang yang dimasukkan ke dalamnya. Tujuh golongan tersebut ialah:

1. Orang yang melakukan homoseks.

2. Orang yang melakukan kahwin tangan (onani).

3. Orang yang melakukan hubungan seks dengan binatang.

4. Orang yang melakukan hubungan seks melalui dubur (liwat).

5. Orang yang berkahwin antara ibu dan anak.

6. Orang yang berzina dengan isteri jirannya.

7. Orang yang menggangu jirannya.

(Riwayat al-Tabrani).

CARA-CARA MENGHINDARI KETAGIHAN ONANI

Di antara cara-cara untuk menyekat dan menghindarkan diri dari terus terjebak di dalam kancah ketagihan onani adalah:

1. Sentiasa mendekatkan diri kepada Allah Taala.

2. Jika mampu dan tiada halangan maka berkahwinlah segera.

3. Sentiasa menyibukkan diri dengan aktiviti dan program luar.

4. Sentiasa menjaga pandangan mata dari perkara-perkara maksiat.

5. Berkawan dengan kawan-kawan yang mampu membawa kebaikkan.

6. Sentiasa mendampingi dan meminta tunjuk ajar dari orang alim.

7. Sentiasa mempelajari ilmu agama secara ikhlas dan bersungguh-sungguh.

8. Berpuasa.

9. Dan sebagainya lagi.

PENUTUP

Saya juga ada terbaca beberapa artikel mengenai bahayanya ketagihan onani dari sudut kesihatan mental dan jasmani seperti dapat mencederakan salaf, menjejaskan pengaliran darah, berkemungkinan mati pucuk (terutamanya bagi lelaki) dan sebagainya lagi. Di sini juga saya ingin menyarankan dan menyeru kepada semua pihak agar sentiasa memberi perhatian dan mengambil berat tentang masalah sosial yang menimpa umat Islam di Malaysia khususnya pada masa kini. Semua pihak mestilah berperanan untuk membawa kembali budaya Islam ke dalam kehidupan masing-masing agar segala masalah sosial yang timbul dapat ditangani dengan sebaiknya. Peranan ini mesti ditanggung bersama oleh individu, keluarga, masyarakat dan pemimpin. Semoga kita semua dijauhi perkara-perkara seperti ini. Aminnn.

Ustaz Muhammad Rashidi Bin Haji Wahab

- Soal Jawab iluvislam.com

-I LUV ISLAM : Haram Rebonding??-

Assalammualaikum Ustaz.

Saya keliru dengan hukum yang menyatakan bahawa menggunakan teknik rebonding pada rambut adalah haram hukumnya. Saya telah melakukanya tetapi pada waktu tersebut saya tidak mengetahui tentang hukumnya. Adakah saya berdosa kerana telah melakukannya?

Dan betulkah hukum melakukannya adalah haram di sisi agama Islam?
- Nurul

Wa'alaikumsalam Warahmatullah.

Para ulama telah berselisih pendapat dalam menentukan hukum sebenar bagi teknik rebonding ini sama ada untuk meluruskan rambut atau mengkerintingkannya. Ini kerana tidak terdapat dalil yang khusus melarang atau mengharuskan perkara ini secara jelas. Dalil-dalil yang digunakan oleh kedua-dua pihak lebih bersifat umum sahaja. Disebabkan itulah berlaku perselisihan di kalangan ulama kepada dua pandangan iaitu mengharamkan dan mengharuskan.

Namun secara peribadinya saya lebih cenderung untuk mengatakan bahawa harus pada sesetengah keadaan bagi seseorang perempuan itu membuat teknik rebonding di atas sebab-sebab tertentu. Lebih-lebih lagi jika isteri membuat teknik ini semata-mata untuk memperagakan di hadapan suaminya sahaja. Begitulah kesimpulan daripada pandangan Imam Nawawi di dalam kitabnya Raudah al-Tolibin dan pendapat Imam Ramli di dalam kitabnya Nihayah al-Mujtahid.

Selain itu, perkara yang perlu diteliti juga berkaitan dengan teknik rebonding ini ialah:

1. Apakah niat dan tujuan rebonding?
2. Bahan apakah yang digunakan untuk rebonding?
3. Siapakah yang melakukan rebonding?
4. Untuk siapakah rebonding itu diperagakan?
5. Apakah kesan rebonding?

Sekadar peringatan: Syukurilah nikmat Allah SWT yang sedia ada. Allah Taala tidak akan menzalimi hambaNya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

Sesiapa yang memiliki rambut hendaklah dia muliakannya.

(Riwayat Abu Daud).

Wallahualam.

- Ustaz Rashidi Haji Wahab

- Soal Jawab iluvislam.com

-I LUV ISLAM : Solat Sunat Nikah-

Assalamualaikum wbt.
Saya mohon penjelasan ustaz mengenai solat sunat nikah - hukumnya, perlaksanaannya dan yang berkaitan.
Terima kasih.
Wina
Wa'alaykumsalam Warahmatullah.
Niat solat sunat selepas berkahwin ialah:
"Usolli sunnata badan nikahi rakataini lillahi taala".
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat selepas nikah dua rakaat kerana Allah Taala.
Rakaat pertama membaca surah al-Fatihah dan surah al-Kafiruun.
Rakaat kedua membaca surah al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas.
Di antara dalil solat sunat selepas bernikah ialah:
Di dalam sebuah hadis Abu Said yang agak panjang, beliau menyebutkan bahawa para sahabat lain mengajarnya:
"Jika isterimu nanti datang menemuimu, hendaklah kalian berdua solat dua rakaat. Lalu mintalah kepada Allah kebaikan isterimu itu dan mintalah perlindungan kepadaNya daripada keburukannya. Selanjutnya terserah kamu berdua." (Riwayat Ibnu Abi Syaibah).
Sebuah hadis daripada Abu Waail. Dia berkata:
Seseorang datang kepada Abdullah bin Masud RA lalu berkata: Aku menikah dengan seorang gadis tetapi aku takut dia membenciku. Abdullah bin Masud berkata:
"Sesungguhnya cinta berasal dari Allah Taala sedangkan kebencian itu berasal dari syaitan untuk membenci apa-apa yang dihalalkan oleh Allah Taala. Jika isterimu datang kepadamu maka perintahkanlah untuk melaksanakan solat dua rakaat di belakangmu." (Riwayat Abd Razak).
Namun sebahagian orang menyatakan solat sunat ini tidak ada asasnya di dalam Islam kerana hadis-hadis yang dikemukan ini tidak kuat.
Tetapi Syeikh al-Albani juga mengatakan hadis ini mempunyai sanad yang baik dan mempunyai sandaran yang jelas dengan perbuatan generasi Salaf al-Soleh.
Wallahualam.
Ustaz Rashidi Haji Wahab

-I LUV ISLAM : Perkahwinan Anak Luar Nikah-

Salam wbt ustaz,
Saya ada kemusykilan. Rakan saya merupakan anak luar nikah ibu bapanya. Hal ini dirahsiakan sehingga rakan saya bernikah (secara sah) dan sudah mempunyai cahaya mata. Namun rahsia itu terbongkar & terdapat persoalan disini :
1) Apakah hukumnya pernikahan anak tersebut kerana semasa akad nikah, anak perempuan yang bernikah itu diakad dengan berbintikan ayahnya itu & diwakil walikan oleh ayahnya itu juga (mengikut surat beranak & kad pengenalan)?
2) Sekiranya pernikahan anak tersebut @ rakan saya itu tidak sah, apakah yang harus dilakukan? Adakah harus bernikah semula dengan berbintikan Abdulllah?
3) Bagaimana pula dengan status anak (cucu) yang dilahirkan oleh anak tidak sah taraf ini (hasil dari pernikahan tersebut) sedangkan anak ini dilahirkan melalui pernikahan yang sah (sebelum mengetahui ibunya adalah anak luar nikah)? Adakah anak ini boleh dikatakan hasil hubungan zina?
Siti
Assalamualaikum Warahmatullah.
Menjawab persoalan saudari :
1) Jika benar anak perempuan tersebut (kawan saudari itu) adalah anak haram kepada kedua-dua ibubapanya itu, maka perkahwinannya itu tidak boleh diwalikan oleh bapanya itu.
2) Jika perkara ini adalah benar, kawan saudari itu perlu melaporkan segera perkara ini kepada jabatan agama atau pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya. Selalunya mereka akan dikahwinkan semula menggunakan wali hakim (semua tindakan ini akan diuruskan oleh jabatan agama).
3) Persetubuhan berdasarkan perkahwinan itu dinamakan persetubuhan syubah. Oleh itu, anak tersebut tetap di'bin'kan kepada bapanya iaitu suami kepada kawan saudari. Cumanya setelah mereka mengetahui kedudukan perkahwinan mereka yang sebenar, mereka perlu segera melaporkannya kepada pejabat agama.
Wallahualam.
Ustaz Rashidi Haji Wahab

-I LUV ISLAM : Hukum Chatting Dengan Bukan Muhrim-


Saya ingin bertanya tentang hukum saya berkomunikasi dengan bukan mahram saya melalui internet samada 'chatting' atau perbualan-perbualan melalui facebook, email dan sebagainya. Saya seorang wanita muslimah yang masih menuntut di IPT. Bentuk perbualan saya selalunya bukan perkara penting; cuma sembang-sembang dan menyampuk-nyampuk maklumat yang ada dalam facebook mereka.
Begitu juga kawan-kawan lelaki saya akan membalas perbualan tersebut. Begitulah hari demi hari kami saling berhubungan tanpa sekatan di alam siber sedangkan di alam nyata kami menjaga batas-batas hubungan lelaki dan wanita bukan mahram ini.
Gadis Muslimah
Terima kasih atas pertanyaan itu.
Gadis Muslimah dan semua wanita muslimah yang membaca soaljawab ini,
Sebagaimana yang kita  maklumi bahawa, komunikasi dengan tulisan melalui jaringan internet atau yang lebih dikenal dengan 'chatting' baru muncul dan popular beberapa tahun terakhir. Yaitu, tepatnya setelah ditemui jaringan internet. Karena itu dalam kitab-kitab ulama terdahulu khususnya buku fiqh, istilah ini tidak akan ditemui. Namun asas bagi hukum 'chatting' ini sebenarnya sudah dibahas oleh ulama, jauh sebelum jaringan internet ditemukan.
'Chatting' dengan lawan jenis yang bukan mahram sama halnya dengan berbicara melalui telepon, SMS, dan berkiriman surat. Semuanya ada persamaan. Iaitu sama-sama berbicara antara lawan jenis yang bukan mahram. Persamaan ini  juga mengandung adanya persamaan hukum. Karena itu, ada dua perkara berkaitan yang perlu kita bahas sebelum kita lebih jauh membicarakan hukum 'chatting' itu sendiri.
Pertama, adalah hukum bicara dengan lawan jenis yang bukan mahram.
Kedua, adalah hukum khalwat.
Berbicara antara laki-laki dan perempuan yang bukan mahram pada dasarnya tidak dilarang apabila pembicaraan itu memenuhi syarat-syarat yang sudah ditentukan oleh syara'. Seperti pembicaraan yang mengandungi kebaikan, menjaga adab-adab kesopanan, tidak menyebabkan fitnah dan tidak khalwat. Begitu jika hal yang penting atau berhajat umpamanya hal jual beli, kebakaran, sakit dan seumpamanya maka tidaklah haram.
Dalam sejarah kita lihat bahwa isteri-isteri Rasulullah SAW berbicara dengan para sahabat, ketika menjawab pertanyaan yang mereka ajukan tentang hukum agama. Bahkan ada antara isteri Nabi SAW yang menjadi guru para sahabat selepas wafatnya baginda iaitu Saidatina Aisyah RA.
Dalam hal ini, Allah SWT berfirman yang artinya:
"Karena itu janganlah kamu (isteri-isteri Rasul) tunduk(yakni melembutkan suara) dalam berbicara sehingga orang yang dalam hatinya ada penyakit memiliki keinginan buruk. Tetapi ucapkanlah perkataan yang baik". (QS. al-Ahzab: 32)
Imam Qurtubi menafsirkan kata  'Takhdha'na'  (tunduk) dalam ayat di atas dengan arti lainul qaul (melembutkan suara) yang memberikan rasa ikatan dalam hati. Yaitu menarik hati orang yg mendengarnya atau membacanya adalah dilarang dalam agama kita.
Artinya pembicaraan yang dilarang adalah pembicaraan yang menyebabkan fitnah dengan melembutkan suara. Termasuk di sini adalah kata-kata yang diungkapkan dalam bentuk tulisan. Karena dengan tulisan seseorang juga bisa mengungkapkan kata-kata yang menyebabkan seseorang merasakan hubungan istimewa, kemudian menimbulkan keinginan yang tidak baik.
Termasuk juga dalam melembutkan suara adalah kata-kata atau isyarat yang mengandung kebaikan, namun ia boleh menyebabkan fitnah. Iaitu dengan cara dan bentuk yang menyebabkan timbulnya perasaan khusus atau keinginan yang tidak baik pada diri lawan bicara yang bukan mahram. Baik dengan suara ataupun melalui tulisan.
Jika ada unsur-unsur demikian ia adalah dilarang meskipun pembicara itu mempunyai niat yang baik atau niatnya biasa-biasa saja.
Adapun khalwat, hukumnya dilarang dalam agama Islam. Sebagaimana dalam sabda Rasulullah SAW yang artinya:
"Janganlah ada di antara kalian yang berkhalwat dengan seorang wanita kecuali dengan mahramnya." (HR. Bukhari dan Muslim)
Khalwat adalah perbuatan menyepi yang dilakukan oleh laki-laki dengan perempuan yang bukan mahram dan tidak diketahui oleh orang lain. Perbuatan ini dilarang karena ia dapat menyebabkan atau memberikan peluang kepada pelakunya untuk terjatuh dalam perbuatan yang dilarang.
Kerana ada sabda Nabi SAW bermaksud:
"Tiadalah seorang lelaki dan perempuan itu jika mereka berdua-duaan melainkan syaitanlah yg ketiganya." (Hadis Sahih)
Khalwat bukan saja dengan duduk berduaan. Tetapi berbual-bual melalui  telepon di luar keperluan syar'i juga dikira berkhalwat. Karena mereka sepi dari kehadiran orang lain, meskipun fisikal mereka tidak berada dalam satu tempat. Namun melalui telepon mereka lebih bebas membicarakan apa saja selama berjam-jam tanpa merasa dikawal oleh sesiapa
Dan  haram juga ialah perkara-perkara syahwat yang membangkitkan hawa nafsu contohnya yang berlaku pada kebanyakkan muda-mudi atau remaja-remaja sekarang dimana sms atau email atau Facebook atau seumpamanya menjadi alat untuk memadu kasih yang memuaskan nafsu di antara pasangan dan masing-masing melunaskan keinginan dan keseronokkan semata-mata. Membincangkan perkara-perkara lucah lebih-lebih lagi hukumnya adalah haram.
Kesimpulan :
Hukum chatting sama dengan menelepon sebagai mana yang sudah kita terangkan di atas. Artinya chatting di luar keperluan yang syar'i termasuk khalwat. Begitu juga dengan sms. Walaupun dengan niat berdakwah. Karena berdakwah kepada jenis lawan bukanlah suruhan agama kerana Allah telah menetapkan untuk berdakwah kepada lelaki adalah lelaki juga, begitu juga sebaliknya.
Namun bila ada tuntutan syar'i yang darurat, maka itu diperbolehkan sesuai keperluan. Tentunya dengan syarat-syarat yang sudah kita jelaskan di atas. Di sinilah menuntut kejujuran kita kpd Allah dalam  mengukur sejauhmana urusan kita itu satu keperluan atau mengikut nafsu semata-mata. Dan kejujuran itu pula bergantung sejauhmana iman kita kepada Allah. Jika muraqabatillah kita kuat (yakni merasa diri sentiasa dalam pandangan Allah), maka itu yang akan menjadi pengawal kita. Jika tidak maka kita akan hanyut bersama orang-orang yang terpedaya dengan teknologi moden ini. Na'uzubillah.
Agak menyedihkan juga dengan kenyataan saudari, bahawa dalam suasana nyata saudari amat menjaga batas pergaulan dengan lelaki bukan mahram, namun di alam siber saudari bebas berbual mesra tanpa batasan syara'. Saya percaya ramai remaja muslimah yang terjebak ke dalam situasi yang syubhah ini.
Internet sangat baik untuk kita, dimana ia memudahkan banyak urusan kita tapi jika kita menyalahgunakannya akan membawa akibat buruk kepada akhlak dan masyarakat kita.
Semoga jawapan ini dapat memandu para muslim dan muslimah remaja atau dewasa dalam melayari kehidupan yang penuh ujian keimanan ini.
Alangkah bahagianya jika para remaja muslim dan muslimah yang terdiri daripada para intelek hari ini berpegang teguh kepada tali agama iaitu taat kepada perintah dan larangan Allah dalam setiap urusan hidupnya. Semoga dengan itu Allah akan menurunkan rahmah-Nya kepada kita semua.
Dan semoga Allah menjauhkan kita dari segala fitnah dunia yang sangat manis pada pandangan mata.
Demikian yang dapat saya sampaikan. Semoga mendapat manfaat.
Wallahu a'lam.
Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad, IKRAM Johor

Copyright© All Rights Reserved madulebah93.blogspot.com